Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Orang-orang yang penyayang, maka Allah Ta’ala akan menyayangi mereka (memberikan rahmat kepada mereka),sayangilah/kasilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangi kalian.”

(HR. Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Isnin, 17 Februari 2014

Pentingnya menjaga kebersihan dalam Islam

MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, termasuk menjaga kebersihan diri, keluarga, masyarakat, negara dan persekitaran. Semoga kita berjaya dan beroleh keberkatan di dunia dan di akhirat.
Kebersihan merupakan amalan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian, sama ada kebersihan rohani atau jasmani, kedua-dua perkara ini tidak boleh dipisahkan kerana kebersihan melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:
“Dari Abi Malik Al-Sya’ri berkata: sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: kebersihan itu sebahagian daripada iman.”
Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang melibatkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara, kerana kebersihan boleh mendatangkan suasana yang tenang, kesihatan yang terjamin dan mencapai kesejahteraan kepada kita semua.
Manakala kebersihan diri dari sudut rohani, di antaranya ialah menjaga lidah dari mengumpat dan mencerca, menjaga mata dari memandang perkara yang tidak baik dan sebagainya.
Dari sudut akidah pula kita hendaklah membersihkan diri dari mensyirikkan Allah Subhanahu Wata’ala, dari kekufuran dan segala perkara yang boleh membawa kepada bahaya dan dosa. Sesungguhnya setiap amalan baik dan bersih dari segi rohani dan jasmani adalah disukai Allah Subhanahu Wata’ala kerana Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa menyukai hamba-Nya yang sentiasa menyucikan diri, sebagaimana dalam Surah Al Baqarah ayat 222, tafsirnya:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.”
Amalan kebersihan hendaklah dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan kita. Islam sangat mengambil berat aspek kebersihan ini dan memberi keutamaan supaya menjaga kebersihan diri sendiri, tempat tinggal dan tempat ibadat, tempat-tempat awam, tempat makan seperti restoran-restoran dan sebagainya. Islam menggalakkan umatnya membersihkan diri sebelum melakukan tuntutan kewajipan sebelum menunaikan sembahyang, hendaklah terlebih dahulu memastikan diri, pakaian dan tempat sembahyangnya bersih dan terhindar dari segala kotoran.
Kita hendaklah peka dan bertanggungjawab untuk menjadikan tempat-tempat ibadat seperti masjid, surau atau balai ibadat sentiasa dalam keadaan bersih. Begitu juga dengan segala kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan seperti tandas atau bilik air. Selain itu tempat-tempat peranginan, tempat-tempat riadah, saliran-saliran, sungai-sungai dan lain-lain hendaklah dijaga supaya sentiasa baik, kelihatan bersih, dan tidak pula dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Bayangkanlah jika pengguna tandas-tandas awam bersikap mengotor-ngotorkan dan merosak-rosakkan kemudahan tersebut, bagaimana pula keadaan pengguna yang lain yang ingin menggunakan kemudahan tersebut. Di mana jati diri kita selaku orang Brunei yang pemedulian, bertimbang rasa, lutanan, kalau kemudahan awam tersebut dikotorkan dan dirosakkan.
Perlu disedari, bahawa pengabaian kebersihan akan menyebabkan tersebarnya pelbagai penyakit seperti denggi, kolera, cirit-birit, keracunan makanan dan sebagainya. Dengan mengabaikan kebersihan juga akan mengakibatkan suasana alam sekitar tidak segar dan tidak sihat.
Prinsip kebersihan di dalam Islam seperti yang ditekankan dalam berwuduk dan bersuci dalam ibadat, sepatutnya dihayati dan dijadikan budaya dalam aktiviti kehidupan seharian. Adapun membudayakan amalan hidup bersih ini adalah bermula dari rumah. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membimbing dan mengajar ahli keluarga tentang aspek kebersihan. Jadilah keluarga yang mementingkan kebersihan yang akhirnya akan menjadikan masyarakat yang mengutamakan kebersihan.
Untuk melahirkan persekitaran hidup yang bersih dan sentiasa kelihatan menarik, perkaraperkara berikut perlulah kita hayati bersama iaitu:
Pertama: kita hendaklah mempertingkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cermin kemurnian umat Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan.
Kedua: setiap ibu bapa hendaklah mendisiplinkan diri dalam memikul tanggungjawab menjaga kebersihan dan hendaklah memiliki sikap suka kepada kebersihan secara berterusan dengan melaksanakan amalan ini setiap masa dan tempat bagi menjaga imej Islam yang sukakan kebersihan.
Ketiga: mempertingkatkan amalan tegurmenegur dan nasihat-menasihati sesama kita dalam hal menjaga kebersihan. Amalkanlah sikap tidak camah mata jika ternampak kekotoran. Dengan demikian, ia akan melahirkan perasaan cinta kepada kebersihan dan benci kepada kekotoran.
Keempat: menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin seperti tong sampah, tong kitar semula dan tempat pembuangan sampah awam tanpa membiarkan sampah sarap dan kekotoran bertaburan merata-rata.
Amalan bergotong-royong adalah satu amalan yang terpuji yang menjadi kebanggaan masyarakat kita ketika dahulu. Akan tetapi amalan tersebut sudah semakin berkurangan. Alangkah baiknya amalan tersebut disemarakkan kembali. Sama-samalah kita bergotong-royong membersihkan persekitaran rumah, tempat ibadat, tempat riadah, peranginan dan juga tempat-tempat awam. Janganlah hanya mengharapkan pihak tertentu atau pekerjapekerja sahaja yang melakukannya. Kita juga dapat memainkan peranan serta bekerjasama menjalankan amalan ini.
Selain itu, amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita dan masyarakat amnya.
Firman Allah SubhanahuWata'ala dalam Surah Al Maa-idah ayat 2, tafsirnya:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolongmenolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah Subhanahu Wata’ala).”
Marilah kita sama-sama menghayati dengan sebenar-benarnya erti kebersihan dalam kehidupan ini. Mudah-mudahan dengan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan kita, kita akan tergolong di kalangan orang-orang beriman. Amin Ya Rabbal'alamin.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Ash-Shams, tafsirnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih dengan iman dan amal kebajikan. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan