Antara adat dan ibadat. Adakalanya adat yang baik boleh menjadi ibadat, iaitu mendapat pahala sebagai ibadat. Adakalanya juga ibadat yang dilakukan dengan cara yang tidak baik boleh menjadi adat sahaja dan tidak mendapat pahala ibadat.
Di dalam Islam adat resam dan budaya bangsa tidak boleh mengatasi landasan syariat. Sebarang adat resam yang bercanggah dengan akidah dan dasar syariat mestilah ditolak dan dibanteras. Mereka yang mempertahankan adat dan budaya yang bercanggah dengan agama sedang melakukan satu kesalahan yang besar. Allah berfirman,
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللّهُ قَالُواْ بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لاَ يَعْقِلُونَ شَيْئاً وَلاَ يَهْتَدُونَ
“Apabila dikatakan kepada mereka: ‘Ikutlah apa yang telah diturunkan Allah,’ mereka menjawab: ‘(Tidak), tetapi kami akan ikut apa yang telah kami dapati dari perbuatan nenek moyang kami’. Apakah mereka tetap hendak mengikut walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk?”
(Surah Al-Baqarah ayat-170)
Sebahagian daripada adat resam dan budaya bangsa yang diamalkan oleh masyarakat pada hari ini mengandungi unsur-unsur khurafat dan tahayul. Khurafat dan tahayul ialah kepercayaan yang tidak bersandarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Ia merupakan sebahagian daripada kepercayaan yang mungkar lagi sesat. Kepercayaan ini menjadi pegangan segelintir umat Islam hari ini sebahagiannya kesan dari pengaruh budaya yang dibawa oleh penganut ajaran agama lain.
Di antara bentuk khurafat dan tahayul yang dipegang ialah kepercayaan kepada konsep sial majal. Di kalangan bangsa Melayu di antara adat yang lahir dari kepercayaan ini ialah Adat Mandi Membuang Sial. Adat ini bertujuan untuk membuang sial dan nasib malang yang menimpa seseorang. Melihat dalam mangkuk air atau se suatu barang yang kononnya mampu melihat barang yang hilang seperti kereta, motorsikal...termasuk kapal terbang!
Untuk tujuan ini pawang khas akan dipanggil untuk upacara ini dengan menggunakan buah limau seperti limau nipis dan bunga-bungaan seperti bunga melor dan mawar, pawang akan membaca jampi mantera tertentu yang kadangkala dengan menggunakan pertolongan makhluk ghaib seperti jin. Sedangkan jin itu sendiri tidak mengetahui perkara yang ghaib sebenarnya.
Gambar Hiasan |
Contoh adat-adat lain yang sering diamalkan ialah, Adat Melenggang Perut yang dilakukan ke atas ibu-ibu yang mengandung tujuh bulan, Adat Merenjis Tepung Tawar dan Adat Mandi Safar. Kesemua adat ini ada perkaitan dengan kepercayaan terhadap sial majal. Islam menolak kesemua kepercayaan ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Kepercayaan pada sial majal adalah satu perbuatan syirik (Nabi s.a.w mengulangi sabda ini sebanyak tiga kali). ” (HR: Abu Daud dan Tirmizi)
Sebenarnya, kepercayaan kepada khurafat dan tahayul melambangkan kemunduran akal dan kelemahan jiwa seseorang. Umat Islam sewajarnya kembali menghayati ajaran Islam yang suci demi untuk memartabatkan imej agama yang maju lagi saintifik. Nabi s.a.w bersabda, “Mempercayai sial majal membawa kepada syirik (Nabi s.a.w mengulanginya sebanyak tiga kali)......... dan Allah telah menggantikan kesemua itu dengan tawakal.” (Riwayat Tarmuzi dan Abu Daud)
Wallahu a'lam - Doakan istiqamah Ust Kay
Tiada ulasan:
Catat Ulasan