Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Orang-orang yang penyayang, maka Allah Ta’ala akan menyayangi mereka (memberikan rahmat kepada mereka),sayangilah/kasilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangi kalian.”

(HR. Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Sabtu, 5 April 2014

Tangan gadis dipotong kerana memberi sedekah

Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah s.w.t." Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. 

Gambar Hiasan
Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. 

Semenjak dari peristiwa itu maka Allah s.w.t pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina. 

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. 

Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. 

Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. 

Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. 

Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. 

Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu." 

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. 

Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. 

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah s.w.t. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah s.w.t." 
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."

Jumaat, 4 April 2014

Sejarah Solat Lima Waktu

Gambar sekadar hiasan
Subuh
Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

·         Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
·         Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.
Zohor
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

·         Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
·         Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
·         Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
·         Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
Asar
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

·         Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
·         Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
·         Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
·         Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

Maghrib
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

·         Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
·         Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
·         Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

Isyak
Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

·         Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
·         Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
·         Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
·         Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun




Tautan Rahmat: Kongsikan sejarah solat lima waktu ini kepada rakan-rakan muslim yang lain.

SIFAT KEDEKUT

السلام عليكم ورحمة الله وبركاتة

Di zaman dahulu ada seorang ahli sufi yang bernama As Saturi, pada suatu hari beliau bersama rakan-rakannya telah dijemput makan oleh seorang kaya yang kedekut.

Ketika sampai di rumah orang kaya tersebut,  hidangan seekor kambing bakar telah tersedia.

Orang kaya yang kedekut tadi pun menjemput As Saturi dan rakan-rakannya untuk makan dengan harapan mereka hanya makan sedikit sahaja. 

Namun sangkaan tuan rumah yang kedekut itu meleset kerana As Saturi makan dengan bersungguh-sungguh sehinggakan orang kaya kedekut itu sangat bimbang dan merasa sempit dadanya serta tidak senang melihatnya.

Orang kaya tersebut jenuh memikirkan bagaimanakah caranya untuk menghentikan tetamunya daripada terus menjamah makanan. 

Lalu beliau memanggil pelayannya. "Haa pelayan! pergi angkat sisa makanan untuk hidangan anak-anak didapur." Kata orang kaya kedekut itu kepada pelayannya.

Apabila mendengar arahan tersebut,  para tetamu terus memberhentikan makan mereka.

Hidangan kambing sedap tadi terus diangkat kedapur.

As Saturi yang melihat situasi itu bergegas bangun dan terus mengikut pelayan-pelayan itu ke dapur. 

Orang kaya yang kedekut itu bila melihat gelagat As Saturi terus bertanya kepadanya. "Tuan mahu kemana?" Tanya orang kaya kedekut.

"Saya mahu makan bersama kanak-kanak didapur." Jawab As Saturi. 

Orang kaya kedekut berasa malu kerana sifat kedekutnya dapat dihidu oleh As Saturi dan tetamu yang lain.

Akhirnya kambing tersebut dihidangkan semula kepada para tetamu yang lain.

Sifat orang kedekut
1. Hatinya sentiasa resah gelisah.
2. Bimbang nikmat yang diperolehinya terlepas ketangan orang lain.
3. Sentiasa berusaha agar dirinya sahaja yang mendapat nikmat sedangkan orang lain dilupakan

Dari Abu Hurairah r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:  Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya, ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar.


Wallahu A'lam 
Ust que s -Tautan Rahmat Perak-

Kenali Tautan Rahmat Perak

Tautan Rahmat Cawangan Perak mengalu-alukan penyertaan para sukarelawan
Jika berminat
Sila lengkapkan borang  di SINI

Selasa, 1 April 2014

Ikhtilat: Pencampuran wanita dan lelaki


Ikhtilat ?

Ikhtilat ialah pencampuran wanita dan lelaki (sama ada persendirian atau berkumpulan). 

Pencampuran di satu tempat selalunya menyebabkan mereka (lelaki dan wanita) bertemu antara satu sama lain, berpandangan dan bertegur sapa. 

Mengikut takrif Dr. Majid Zindani seorang ulama Yaman, ikhtilat yang dilarang adalah percampuran yang terdapat keraguan (perkara yang menjerumus kepada benda-benda yang haram).

Terdapat dua pendapat di kalangan para ulama di dalam permasalahan 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita.

1. Termasuk di dalam perkara yang dilarang .

2. Termasuk di dalam perkara yang diharuskan (Mubah)

LARANGAN IKHTILAT
Larangan terhadap wanita yang bermusafir seorang diri dengan tanpa ditemani oleh mahramnya dan larangan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan.
Maksud dari sabda nabi SAW :

"Tidak boleh seseorang wanita itu bermusafir melainkan ia ditemani oleh mahramnya, dan tidak boleh seseorang lelaki berdua-duaan bersama perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya."

KEHARUSAN IKHTILAT
Dr Yusuf al-Qardawi pernah berkata : "Perhimpunan antara lelaki dan perempuan adalah tidak haram, malahan ianya harus dan dituntut sekiranya mempunyai tujuan yang baik yang perlu dibuat bersama seperti menuntut ilmu, amal soleh, aktiviti kebajikan, jihad fardu dan sebagainya yang memerlukan penggabungan antara dua pihak."
Contoh : 
1) 'Ikhtilat' yang berkaitan dengan muamalah yang dibenarkan oleh syara` seperti dalam urusan jual beli. 
2) 'Ikhtilat' yang berlaku sewaktu menjadi saksi di dalam kes-kes tertentu.
3) 'Ikhtilat' bertujuan melayani tetamu dengan syarat ia mestilah ditemani oleh suami atau mahramnya. 
4) 'Ikhtilat' sewaktu peperangan jihad fisabilillah seperti membantu para pejuang, memberi minum, merawat dll.
5) 'Ikhtilat' di dalam kenderaan awam. Tetapi kalau ada kenderaan yang khas untuk wanita itu lebih baik.

Perlu diingatkan bahawa bentuk-bentuk keizinan 'ikhtilat' yang telah disebutkan tadi tidak bermakna wanita boleh bebas bercampur gaul dengan kaum lelaki. Ini kerana hukum asal ikhtilat itu sendiri sudah jelas. Oleh itu para wanita tetap wajib menjaga segala adab-adab dan hukum syara` yang berkaitan dengannya.

Ikhtilat yang diharuskan oleh Islam hendaklah mengandungi etika dan syarat-syarat seperti berikut: 
1. Tidak berkhalwat lelaki dan perempuan (bersunyi-sunyian) 
2. Tidak ada pandangan yang disertai dengan pandangan nafsu syahwat. 
3. Cara berpakaian yang mengikut syariat Islam. Tidak menunjukkan perhiasannya melainkan apa yg telah terzahir (muka dan tapak tangan) 
4. Tidak melunak-lunakkan percakapan bagi wanita. 
Firman Allah: "Maka janganlah perempuan melunakkan suara sehingga menimbulkan keinginan lelaki yang mempunyai penyakit hati dan katalah perkataan yang baik-baik." (QS, Ahzab: 32) 
5. Cara wanita berjalan yang tidak menarik perhatian.  Firman Allah: "Maka janganlah wanita itu menghentak kakinya supaya diketahui perhiasan yang tersembunyi." (QS, Nur: 31) 
6. Tidak memakai wangi-wangian bagi wanita. "Mana-mana wanita yang memakai wangian dan berjalan di sekumpulan lelaki maka dia adalah penzina."  (HR: Tirmizi) 
7. Ada sebab dan keperluan yang munasabah, seperti dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kebajikan.
8. Tidak ada sentuhan antara lelaki dan perempuan "Lebih baik seorang lelaki itu bersesak-sesak dengan babi yang berlumuran tanah daripada dia bersesak-sesak bahunya dengan perempuan yang bukan mahram."(HR: Thabrani) 
9. Tidak saling bertembung atau berselisih tubuh.
"Bila kamu bertemu dua org perempuan janganlah lalu dicelah-celah keduanya." (HR: Baihaqi)

KESIMPULAN :
Hukum-hukum di atas juga merangkumi hubungan dan pergaulan seseorang wanita dengan kaum kerabat yang bukan mahram. Ramai wanita memandang ringan perkara ini. Contohnya membuka aurat atau bersalaman dengan sepupu atau abang ipar dengan alasan mereka adalah keluarga rapat.

Wallahu a'lam - Doakan istiqamah Ust Kay.